Tiada unsur jenayah dalam kebakaran di Segambut malam tadi

Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan melecur seluruh badan di bahagian balkoni kondominium itu oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Gambar fail
PETALING JAYA: Polis menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes kebakaran melibatkan sebuah unit kondominium di tingkat 26 yang mengorbankan seorang lelaki berusia 38 tahun di Segambut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata siasatan awal tidak menemukan sebarang tanda perbuatan khianat dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut.
"Pasukan forensik dan pasukan anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah pergi semula ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hoo berkata mangsa, seorang pelukis sambilan tinggal bersendirian di unit berkenaan sejak 2021 dan kali terakhir menghubungi keluarga pada 2 petang Sabtu lepas.
Hasil bedah siasat yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian adalah akibat melecur teruk.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan melecur seluruh badan di bahagian balkoni kondominium itu oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.46 malam semalam sebelum meggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, Menjalara, Sentul dan Taman Tun Dr Ismail ke lokasi kejadian.
Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 12.94 meter persegi itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.03 pagi, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


