Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua anggap pencalonan 'Papa Gomo’ untuk menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai "tidak masuk akal dan lucu."

"Terdapat kekeliruan di sini. Kami tidak tahu siapa 'Papa Gomo'. Bukan sahaja ‘Papa Gomo' sebagai blogger ‘hantu’ tetapi pengundi hantu dan calon hantu.

"Terdapat satu fenomena ‘hantu’ yang cuba untuk mencabar Anwar. Kami mempunyai keadaan yang sangat tidak masuk akal dan agak melucukan bahawa terdapat blogger ‘hantu’, yang menafikan identiti sebenar beliau dan kini mengeluarkan kenyataan sebagai pencalon hantu yang akan menentang Anwar," kata Tian Chua ketika dihubungi AstroAwani.com.

Pada Isnin, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa sebagai ‘Papa Gomo’ menafikan ada kaitan dengan ‘Papa Gomo’.

“Papa Gomo yang nak lawan (Anwar Ibrahim). Bukan, bukan... itu kena tanya Rafi (Rafi Awang Kechik),” kata Wan Muhammad.

Terdahulu, satu sidang media diadakan oleh Rafim, yang merupakan Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, mengumumkan pencalonan Wan Muhammad atau individu yang dikaitkan dengan Papa Gomo untuk bertanding di Permatang Pauh, Pulau Pinang atau mana-mana kerusi yang ditandingi oleh Anwar pada PRU-13 nanti.