Naib Presiden PKR, Tian Chua bertegas enggan memohon maaf mengenai kenyataannya di laman portal KeadilanDaily yang mengaitkan krisis tembakan di Lahad Datu, Sabah sebagai 'konspirasi terancang UMNO'.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu itu mendakwa tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan bersedia untuk membawakan hal ini ke mahkamah demi membersihkan namanya.

"Saya hanya bertanggungjawab kepada petikan langsung saya. Mana-mana laporan berita pun kamu hanya bertanggungjawab dengan apa yang kamu cakap, bagaimana editor nak susun itu terpulang kepada mereka,"

"Sekiranya Umno tidak berpuas hati, saya bersedia untuk membawakan hal ini di mahkamah," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Tian Chua turut menafikan tajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno' yang disiarkan pada laman portal Keadilandaily.com adalah kenyataannya.

Tambahnya, kenyataannya disalah tafsir malah telah dimanipulasi sesetengah penulis blogger Umno.
4 Mac lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghantar notis menggesa Tian Chua membuat kenyataan maaf kerana mengaitkan UMNO dengan insiden di Lahad Datu.

Tian Chua mendapat kecaman hebat termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengutuk keras dan menyifatkan kenyataan sebagai mainan politik bagi meraih sokongan rakyat terhadap pembangkang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan mencabar Tian Chua menyaman laman portal rasmi PKR itu sekiranya betul-betul tidak bersalah.

"Tian Chua memang berbohong kalau dia tidak menyaman, jadi beliau tidak boleh lari dari kenyataan ini. Jadi dia mesti saman Keadilandaily.com."

"Ini kerana kenyataan itu amat mengguris hati bukan sahaja parti Umno malah perasaan rakyat Malaysia sendiri kerana ia melibatkan kematian dan pencerobohan kedaulatan negara," kata Abdul Rahman kepada Astro Awani.

Tambah beliau, sekiranya saman tidak difailkan, Tian Chua diibaratkan sebagai 'menegakkan benang yang basah' dan penafiannya hanyalah sia-sia.