Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan adalah tidak adil apabila ada pihak menuduh Malaysia tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap warga Rohingya.

Tegas beliau, sekiranya ada negara merasakan Malaysia tidak cukup baik melayan warga Rohingya, Hishammuddin mengalu-alukan negara berkenaan menerima pelarian itu ke negara mereka.

“Pendirian kita dari dulu adalah sama, masalah Rohingya ini mesti diselesaikan bermula di tempatnya itu sendiri, bermakna di Rakhine.

“Itu merupakan pendirian Wisma Putra yang kita nyatakan di semua platform antarabangsa,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN - Rusia di sini pada Rabu.

BACA: Pelarian Rohingya: Kerajaan akan bertindak tegas kali ini

Tegasnya, perkara itu akan dibincangkan di peringkat ASEAN memandangkan ia bukanlah isu baharu.

“Apa yang kita lakukan untuk pelarian Rohingya sejak dari dulu lagi merupakan satu usaha yang bukan kecil dan jumlah mereka yang berada di Malaysia mencecah ratusan ribu.


“Beberapa negara yang sebelum ini berjanji untuk menerima pelarian ini yang datang dari Malaysia juga nampaknya dilihat tidak berbuat demikian,” ujarnya.

BACA: 269 pelarian Rohingya ceroboh negara akan jalani saringan COVID-19

Isu Rohingya kembali hangat diperkatakan di Malaysia selepas lebih 200 orang pelarian itu ditahan pada minggu lepas di Langkawi ketika cuba masuk secara haram ke negara ini.

Susulan kes tersebut, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan bertindak tegas dalam isu melibatkan pelarian Rohingya yang cuba menceroboh masuk ke dalam negara.

Antara tindakan tegas itu termasuk memastikan pelarian Rohingya yang berjaya melolos ke Malaysia akan tetap dibawa pulang ke semula ke Bangladesh.

Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri akan diminta berbincang dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menempatkan mereka di negara ketiga.

Begitupun, Bangladesh berkata pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

"Bangladesh tidak akan menerimanya. Bangladesh tidak mempunyai kewajipan atau berada dalam posisi untuk menerima pelarian Rohingya lagi," kata Menteri Luar negara itu, AK Abdul Momen kepada agensi berita Anadolu.