Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin PAS tidak mungkin dipilih menjadi perdana menteri dan menegakkan negara Islam kerana dua parti dalam pakatan pembangkang tidak pernah menyokong dan mempercayai PAS.

"PAS hanya melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang," kata beliau semasa merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Selasa malam.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara PAS, DAP dan PKR, mereka saling tidak mempercayai.

"PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR (pula) tidak percaya kepada PAS," katanya.

Dalam ucapannya bertajuk 'Bersama Melakar Kemenangan', Muhyiddin berkata mandat rakyat yang diberikan kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya yang lalu untuk memerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah, yang mendedahkan bahawa pakatan mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa.

Beliau berkata PAS dan DAP masih tebal dengan sentiman kaum dan agama, dan mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik.

Muhyiddin berkata walaupun PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional, kedua-dua parti itu hingga ke hari ini, sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.

Ini dapat dilihat di tiga negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang, di mana di Pulau Pinang, DAP dilihat tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, apabila PAS yang memenangi satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri tidak dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri.

"DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PASlah yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP untuk menjaga hal ehwal Islam di Pulau Pinang. Nampaknya DAP tidak percaya kepada PAS," katanya.

Muhyiddin berkata di Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang dikuasai PAS, dan apabila kerajaan PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP.

"Ini membuktikan bahawa DAP bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam PAS," katanya.

Muhyiddin berkata di Selangor pula, anggota Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri itu.

"Bagi DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan," kata Timbalan Presiden Umno.

Beliau berkata akibat pertelagahan itu, anggota Exco PAS berkenaan dipecat daripada menyandang jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil alih oleh Menteri Besar dari PKR.

" Ternyata PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR.

"Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas," tambahnya.

Muhyiddin berkata: "PAS berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa".

Beliau berkata sepanjang 12 kali pilihan raya umum, bilangan kerusi yang ditandingi PAS kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen, dan ironinya, jika PAS menang di semua kawasan yang ditandingi sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan.

" Apatah lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihan raya umum 1999," katanya dan menambah, mungkin PAS akan mengatakan kepada rakyat, tidak mengapa mereka bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam.

"Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api," katanya dengan mempersoal "bolehkah presiden PAS menjadi perdana menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka?"

" katanya yang turut mempersoal, jika tidak boleh pemimpin PAS dipilih sebagai perdana menteri, mengapa parti itu mengemukakan juga cadangan itu?

"Bagi kita, ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR," katanya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata dengan kedudukan PAS yang lemah, adalah agak pelik apabila dalam Muktamar PAS baru-baru ini, ada anggota perwakilan parti itu yang mencadangkan presiden mereka sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang.