Kerajaan negeri Kelantan sudah cukup kuat untuk menangani isu-isu membabitkan rakyat tempatan yang terjejas kerana bencana banjir di negeri itu dan tidak memerlukan kerajaan campuran untuk tujuan itu.

Itu reaksi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika diminta mengulas tentang cadangan pembentukan kerajaan campuran membabitkan parti PAS dan UMNO di Kelantan oleh Pemilik Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

“Tiada keperluan menubuhkan kerajaan campuran di negeri ini kerana berbekalkan bantuan kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri dan kuasa kuasa lain, kita mampu menangani masalah rakyat,” katanya ringkas kepada akhbar Sinar Harian.

Pada Jumaat, Hussamuddin menjelaskan cadangan untuk menubuhkan kerajaan campuran adalah demi rakyat dan juga pembangunan semula negeri yang memerlukan pelan jangka masa panjang.

"Saya sebagai ahli korporat ingin melihat ke hadapan. Saya mahu tahu tentang perancangan satu tahun, tiga tahun, lima tahun dan 10 tahun akan datang. Tidak perlu untuk ahli politik bergaduh tentang nak hantar bantuan. Biarkan NGO dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) salurkan bantuan," kata Husammuddin dalam satu sidang media di Shah Alam semalam.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin pada Jumaat juga menegaskan tiada keperluan menubuhkan kerajaan campuran UMNO dan PAS dalam usaha menyelesaikan masalah banjir di Kelantan.

"Ini bukan masa untuk bincang soal perpaduan, sebaliknya untuk sampaikan bantuan (kepada mangsa banjir). Dan bantuan tetap disampaikan dengan kedudukan sedia ada," katanya yang dipetik Bernama.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menafikan kemungkinan mengadakan kerajaan campuran di Kelantan demi memastikan kesempurnaan usaha membaik pulih negeri itu yang terjejas akibat banjir.

Namun katanya, buat masa ini, tanggungjawab pengurusan banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain yang terjejas akibat bencana itu masih terletak di bahu kedua-dua kerajaan.