KUALA LUMPUR: Tiga Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) berdepan risiko untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, sekali gus berdepan hukuman yang lebih berat.

Ketiga-tiga mereka ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Peringatan itu dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan kenyataan Wan Saiful yang mendakwa Zulkafperi dan Mohd Azizi membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan kepada kerajaan.

Menurut Johari, beliau juga boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa baharu mengikut Peraturan 80A, bagi menilai kenyataan dan tuduhan melibatkan tiga Ahli Parlimen pembangkang terbabit.

"Jadi ingat Yang Berhormat, hukuman kali ini akan berat, pasti. Ini kerana telah berkali-kali saya memberi amaran dan ingatkan agar semua isu politik mesti dibahaskan, didebatkan dan dipertarungkan di pentas luar dan bukan di dewan ini.

"Saya ada berurusan dengan seorang demi seorang (Ahli Parlimen berkenaan). Apa pun juga kita mempunyai mekanisme yang cukup jelas. Jadi saya akan gunakan itu semua, dan apa juga keputusan, bukan keputusan saya. Tetapi ia dibuat oleh jawatankuasa.

"Saya cuma melafazkan keputusan itu di sini," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Johari menambah sebarang keputusan akan dibuat dalam tempoh Sidang Parlimen yang berbaki tiga hari lagi.

"Saya telah menulis kepada Tasek Gelugor untuk mendapatkan fakta-fakta yang telah pun beliau sebut itu, dengan membuktikan bukti-bukti yang jelas agar saya dapat berurusan dengan itu (kenyataan yang dibuat).

"Selepas itu, saya akan panggil Yang Berhormat Gua Musang dan Yang Berhormat Tanjong Karang untuk tindakan selanjutnya. Jika didapati Tanjong Karang dan Gua Musang bersalah, kedua-duanya akan dihadapkan ke jawatankuasa," tegasnya.

Johari turut menyifatkan kenyataan yang diucapkan oleh Wan Saiful sebagai amat serius dan melibatkan kredibiti kerajaan dan Perdana Menteri.

"Jadi, keputusan mesti dibuat dan tindakan mesti diambil sama ada terhadap Yang Berhormat berdua (Tanjong Karang dan Gua Musang) mahupun Tasek Gelugor kerana perkara-perkara yang di hadapan kita ini amat berat yang melibatkan maruah dan kredibiliti Ahli Parlimen, kerajaan, Perdana Menteri dan Parlimen," katanya lagi.

Zulkafperi telah memfailkan usul bagi merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan.

Beliau juga menafikan menjadi 'ejen pemujuk' kepada Ahli Parlimen PN yang lain untuk menyokong kerajaan.