KOTA BHARU: Tiga beradik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis daripada tuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan di Machang, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan terhadap Mohd Azam Seman, 26, (bekerja kampung) Muhamad Zarudin, 30, (peniaga) dan Mohd Rizal, 40, (pemandu lori).

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakimannya berkata, mahkamah meneliti hujahan kedua-dua pihak dan mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Kata beliau, antaranya kegagalan mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak pendakwa iaitu suatu yang sangat material untuk membolehkan mahkamah mengetahui naratif perjalanan kejadian selain isu percanggahan keterangan oleh saksi pendakwaan juga adik ipar mangsa.

“Keterangan lelaki ini bercanggah dan berkepentingan menyebabkan mahkamah berhati-hati.

“Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie dan oleh demikian ketiga-tiga tertuduh dilepas serta dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela,” ujarnya.

Mereka didakwa secara bersama-sama seorang yang masih bebas dan seorang lagi sudah meninggal dunia dengan tujuan bersama mengakibatkan kematian Kamsani Mohamed, 39, dalam perhimpunan di Stesen Minyak Shell, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi, 27 Januari 2020.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan dan Nik Nur Adilla Nik Sauki. - Sinar Harian