Tidak sampai dua jam selepas penemuan mayat pertama kes lemas tiga beradik di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu menemui mayat kedua pada 11.36 pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Terengganu, Mohd Basri Kamarazaman berkata, menerusi selaman yang dilakukan anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), pihaknya berjaya mengesan mangsa, Khairil Firdaus Mohd, 17 tahun.

Katanya, mayat Khairil Firdaus dikesan pada jarak 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Terdahulu, mangsa pertama tragedi empat Syawal, Umar Iskandar, 21 tahun, ditemui kira-kira jam 9.50 pagi.

Mohd Basri berkata, ketika ini operasi pencarian seorang lagi adik mereka, Khalif Naim, 16 tahun, terus dipertingkatkan.

Mayat Khairil Firdaus dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

BACA: Baju Melayu ungu jadi kenangan terakhir

Pada Rabu, tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu, yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka, pada sekitar jam 6 petang.

Sementara itu, polis Terengganu mengingatkan masyarakat di kawasan itu agar tidak berkumpul di lokasi pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan.