AYER KEROH:Jenazah tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang Rabu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat di sini, malam ini.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman datuknya di Taman Seri Jati, di sini, kira-kira jam 10 malam dan disambut dengan tangisan ahli keluarga.

Allahyarham Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy berusia setahun, dibawa ke rumah keluarga bapanya itu, menggunakan tiga van jenazah selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh petang tadi.

Suasana pilu menyelubungi sebaik saja jenazah dibawa ke dalam rumah datuknya untuk disembahyangkan, malah bapa mereka, Muhammad Alhafiz Mohamad, 29 kelihatan sebak dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga.

Suasana pilu menyelubungi sebaik saja jenazah dibawa ke dalam rumah datuknya untuk disembahyangkan, malah bapa mereka, Muhammad Alhafiz Mohamad, 29 kelihatan sebak dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga.

Antara yang turut hadir termasuk Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang meluangkan masa kira-kira sejam dan menyertai solat jenazah berkenaan.

Tiga jenazah itu kemudian dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman datuknya dan selamat disemadikan sekitar jam 10.55 malam.

Lebih 300 ahli keluarga, sahabat-handai dan jiran tetangga hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.

BACA: Tiga kanak-kanak maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS

BACA: Ibu belum dimaklumkan tiga anak maut dalam kemalangan


Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, kereta dipandu ibunya mereka, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, terbabit kemalangan apabila dipercayai terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.

Dalam kemalangan itu, tiga anaknya maut manakala Nur Aimi mengalami kecederaan parah.