Tiga beranak maut digilis lori selepas terjatuh daripada motosikal yang dinaiki mereka di Jalan Bukit Larang dekat Telok Mas di sini, hari ini.

Mangsa Mohd Lazi Mohd Taher, 34, serta dua anak perempuannya Nur Balqisha Amani, 4, dan Nur Farisha Amanina, 7, dari KM 9.2 Tambak Bugis dekat Teluk Mas di sini meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka Pemangku Supt Mohd Sham Abdullah berkata sebelum kejadian, motosikal yang ditunggang Mohd Lazi dari arah Kampung Balik Bukit ke Kampung Tersusun bergesel dengan sebuah lori dari arah sama sebelum terjatuh.

"Ketiga-tiga mangsa yang terjatuh ke atas jalan kemudian digilis lori berkenaan yang tidak sempat mengelak dan kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan pemandu lori berkenaan yang dikenali sebagai Ngu Sio Haw, 73, pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kedua-dua kenderaan yang terlibat ditahan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -- BERNAMA