Sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka terkorban selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Kilometer 30, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan petang Isnin.

Dalam insiden itu, Rohaida Sidak, 48 tahun, serta anak perempuannya Nor Syarina Mohd Jamil,19 tahun, maut di tempat kejadian manakala suaminya Mohd Jamil Utok, 46 tahun, yang cedera parah dan disahkan meninggal pada 10.15 malam tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kejadian tersebut turut melibatkan dua mangsa lain.

Dua mangsa yang menaiki Toyota Hilux, kedua-duanya sepupu berusia di antara 29 dan 20 tahun, mengalami kecederaan di kepala.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Toyota Hilux yang dipandu dua sepupu ini telah terbabas ke bahagian kanan jalan, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki tiga mangsa.

“Sewaktu kejadian, kenderaan yang membawa tiga beranak dari Kampung Tersusun Balun Bidan, Kampung Gajah itu sedang dalam perjalanan dari Teluk Intan.

“Berikutan rempuhan itu, anak perempuan mereka yang merupakan seorang pelajar Tingkatan Enam serta ibunya maut di tempat kejadian manakala bapa iaitu pemandu dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWNI pada Isnin.

Jelasnya, dua sepupu yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Changkat Melintang dan Hospital Pantai Ipoh bagi rawatan lanjut.

Mohamad Zainal berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 5.20 petang berkenaan insiden itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.