PATTANI: Tiga termasuk pemandu kereta api cedera akibat serangan bom di Khok Pho, Pattani pada Isnin.

Ketua Polis Khok Pho Kol. Chalong Leknoi berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan) kereta api dengan 300 penumpang itu dalam perjalanan dari Sungai Kolok ke Nakhon Si Thammarat.

"Pemandu kereta api, seorang pegawai kereta api dan seorang penumpang cedera dalam kejadian itu. Letupan menyebabkan kerosakan pada gerabak kereta api," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Beliau menambah bahawa skuad pemusnah bom turut menemui sebutir lagi bom yang belum diletupkan di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati sebutir bom buatan sendiri itu ditanam di tepi landasan kereta api dan diletupkan apabila kereta api melalui tempat kejadian," katanya.

Selepas insiden letupan, pemandu tidak menghentikan kereta api sebaliknya meneruskan perjalanan sehingga stesen Ta Paet di Thepa, Songkhla, kira-kira 4 kilometer dari tempat kejadian kerana bimbang serangan lanjut.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4 meningkatkan kawalan keselamatan di laluan jalan raya dan kereta api.

Beliau turut mengarahkan pasukan keselamatan memburu suspek yang terlibat dalam insiden itu.

-- BERNAMA