KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita di Kepong dan Rawang, semalam, kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang rakan mereka, di Laman Rimbunan Raya 1, Kepong, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam beberapa hari lepas itu bermula apabila seorang peladang di Johor Bahru dikatakan bertengkar dengan dua rakan lelaki, seorang pengedar makanan laut dan ejen hartanah, ketika sedang minum di sebuah kedai di Metro Prima, Kepong.

Beliau berkata selepas pertengkaran dileraikan, peladang itu beredar bersama rakan wanitanya yang merupakan seorang pekerja am, dengan menaiki kereta miliknya.

"Selepas menyedari diekori, lelaki itu memberhentikan kenderaan di tepi jalan raya, dan apabila dia keluar dari keretanya, suspek bertindak melanggar lelaki itu sehingga jatuh, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian," katanya pada sidang media khas di Balai Polis Jinjang, di sini hari ini.

Katanya lelaki itu dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang akibat kecederaan serius di kepala.

Beh berkata polis turut merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan semasa kejadian, dan ketiga-tiga mereka yang berumur 32 hingga 44 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya semakan rekod lampau mendapati dua suspek lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek kini direman hingga 22 Mac," katanya.

-- BERNAMA