GUA MUSANG: Penduduk daripada sembilan kampung di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis (Blok A) di sini terpaksa menggunakan tiga jambatan kayu balak usang sebagai laluan utama keluar dan masuk ke penempatan mereka bagi urusan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Kuala Betis, Sudin Rigen, 47, berkata jambatan itu berisiko untuk dilalui lebih 4,000 penduduk Orang Asli termasuk murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya ketika hujan dan banjir kilat.

Menurut Sudin jambatan Sungai Bawik, jambatan Sungai Kaled dan jambatan Sungai Pusar yang menjadi laluan utama masyarakat Orang Asli di pos pedalaman seperti Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob, turut dilalui oleh kenderaan syarikat balak, syarikat ladang sawit serta syarikat kebun durian.

"Semua jambatan kayu balak ini dibina oleh pihak pembalak sejak hampir 30 tahun lepas. Pada minggu lepas, jambatan Sungai Bawik tidak dapat dilalui kenderaan kerana runtuh.

"Dua hari lepas, sebuah kenderaan pacuan empat roda pihak kontraktor yang membawa pesakit Orang Asli telah hilang kawalan dan terjatuh ke dalam lubang besar atas jambatan Sungai Kaled," katanya yang ditemui di Kampung Langsat, RPS Kuala Betis di sini hari ini.

Sudin berkata penduduk turut berdepan kesulitan menguruskan jenazah ahli keluarga akibat terkandas untuk menyeberangi ketiga-tiga sungai berkenaan.

"Proses membaiki jambatan ini kadang-kadang memakan masa lebih seminggu oleh pihak syarikat balak dengan bantuan penduduk kampung.

"Disebabkan itu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) juga berdepan masalah kerana tidak dapat masuk ke kawasan penempatan Orang Asli untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan penduduk secara berkala," katanya.

Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar Asri Alig, 45, berharap jambatan yang lebih kukuh dan selamat dapat dibina memandangkan alir-an air sungai menjadi deras ketika hujan yang berisiko kepada kejadian jambatan rosak serta runtuh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan berkata pihaknya mengambil maklum isu dihadapi penduduk selepas menerima aduan daripada mereka.

"Pihak kami dalam proses untuk mengambil tindakan seterusnya bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk terlibat," katanya.

-- BERNAMA