NATIONAL
Tiga ke empat hari padam kebakaran Kampung Pekajang - Bomba

Kebakaran hutan yang berlaku di Kampung Pekajang di Iskandar Puteri dijangka dapat dipadamkan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi. - Foto/Bomba Johor
Kebakaran hutan yang berlaku di Kampung Pekajang di Iskandar Puteri, Johor dijangka dapat dipadamkan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis pihaknya berharap tiada punca kebakaran baru di kawasan berkenaan agar usaha pemadaman dapat dijalankan dengan lancar.
"Kebakaran sebenarnya tingal 40 peratus daripada keseluruhan kawasan seluas 16 hektar dan sebanyak 9.5 peratus telah berjaya dipadamkan.
“Jika semuanya berjalan lancar, dalam masa tiga atau empat hari kebakaran ini dapat dipadamkan dan kita juga berharap tiada lagi punca kebakaran baru yang muncul di kawasan ini,” katanya kepada Astro Awani ketika dihubungi, pada Isnin.
Kebakaran bermula pada petang Jumaat lalu itu dipercayai akibat cuaca kering di negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Yahaya turut menyatakan pihaknya menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran hutan itu berikutan kawasannya merupakan tanah paya gambut.
“Kita kena buat pemadaman hingga ke peringkat dalam dan kawasan ini tiada air, jadi bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari kawasan luar dengan menggunakan lima buah tangki bomba dan dua buah tangki daripada Operator bekalan air Johor Ranhill SAJ Sdn Bhd serta Jabatan Pengairan untuk mengepam air sungai berhampiran.
“Seramai 70 pegawai dan anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran hutan itu bagi hari ini,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami