Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tiga lelaki dikesan selepas aksi berbahaya keluarkan badan dari kenderaan di NPE

polis subang
Kedua-dua penumpang, masing-masing berada di bahagian hadapan dan belakang kenderaan, dilihat mengeluarkan sebahagian badan melalui tingkap ketika kenderaan tersebut sedang bergerak di NPE, dari arah Jalan SS15 menghala ke Subang Jaya. - Foto PDRM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis mengesan tiga lelaki tempatan selepas rakaman video memaparkan dua penumpang sebuah kereta melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan sebahagian badan melalui tingkap ketika kenderaan sedang bergerak di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, rakaman berdurasi 31 saat itu tular sekitar jam 7.35 malam, 27 September 2026.

Menurutnya, kejadian membabitkan sebuah Mercedes-Benz C200 yang dinaiki seorang pemandu bersama dua penumpang.

“Kedua-dua penumpang, masing-masing berada di bahagian hadapan dan belakang kenderaan, dilihat mengeluarkan sebahagian badan melalui tingkap ketika kenderaan tersebut sedang bergerak di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), dari arah Jalan SS15 menghala ke Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan. 

Susulan rakaman tersebut, polis berjaya mengesan pemandu dan kedua-dua penumpang yang terbabit.

Ketiga-tiga mereka merupakan lelaki tempatan berusia 20 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aksi berbahaya ketika berada di dalam atau di luar kenderaan kerana boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

 

 

Must Watch Video

Advertisement