Tiga lelaki maut, tiga cedera parah dalam kemalangan di Gua Musang - Bomba

Kemalangan maut berlaku di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai tengah hari semalam, membabitkan sebuah MPV dinaiki empat lelaki dan sebuah van membawa seorang lelaki dan seorang wanita. - foto IPD Gua Musang/BERNAMA
KOTA BHARU: Tiga lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah termasuk seorang wanita dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai tengah hari semalam.
Ringkasan AI
- Tiga lelaki maut dan tiga cedera parah dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
- Kemalangan melibatkan kenderaan MPV Nissan Serena dan van Toyota Hiace, berpunca daripada MPV terbabas masuk laluan bertentangan.
- Siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta untuk memberi maklumat berkaitan kejadian.
"Setibanya di lokasi pada 1.43 tengah hari, pasukan mendapati enam mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut dengan tiga lelaki dalam kereta Nissan Serena meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersepit dan mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata dua lagi mangsa termasuk seorang wanita yang menaiki van turut cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata tiga mangsa yang maut ialah Nik Razizi Nik Rahim, 55, Nik Azmi Nik Othman, 47, dan Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu MPV yang berusia 42 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur bersama-sama tiga lagi rakan sekerjanya untuk menghadiri kursus.
"Setibanya di lokasi kemalangan, pemandu MPV telah terbabas sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan van yang datang dari arah bertentangan.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu van tidak sempat mengelak dan bertembung dengan MPV tersebut sebelum van berkenaan berpusing lalu melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kiri jalan menghala ke arah Gua Musang," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
"Orang ramai yang melihat kejadian terbabit atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang melalui talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat Insp Aida, 019-9144855," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


