Skip to main content

Malaysia

Tiga lelaki rompak berkumpulan guna parang dihadap ke mahkamah

71743102937_courtgavel.jpg
Semua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad. - Gambar hiasan
Advertisement

IPOH: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang di sebuah kedai runcit, pada Mei lepas.

S. Barani Tharan, 33, Yuvaneswara, 30, dan M. Suntaresswaran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa merompak wang tunai RM850, sebuah tab jenama Redmi dan sebuah telefon bimbit jenama Vivo milik Phon Tuck Kei, 34, di sebuah kedai di Taman Klebang Ria di sini, pada 5.55 pagi, 31 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M. Raveena berkata perbuatan tersebut satu kesalahan yang tidak boleh jamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh.

Justeru, Raveena mencadangkan wang jaminan RM20,000 serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai, tertuduh perlu dijamin oleh seorang warganegara tempatan dan ketiga-tiga tertuduh dilarang mengganggu mana-mana saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Nahtan Krishnan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh dalam rayuannya berkata kesemua anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh kasar, manakala Yuvaneswara sudah berkahwin, sementara Barani Tharan dan Suntaresswaran yang masih bujang menanggung ibu bapa.

Sehubungan itu, Nahtan memohon jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan tidak membantah syarat-syarat tambahan dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, serta menetapkan 18 Ogos depan untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement