KUALA NERANG: Tiga maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha di Kilometer 5 Jalan Kuala Nerang- Semeliang, dekat sini kira-kira jam 4.15 petang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Semeliang menuju ke Kuala Nerang cuba mengelak binatang yang secara tiba-tiba melintas di hadapan kenderaan itu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan motosikal yang datang dari arah bertentangan terlanggar pada bahagian tepi pintu hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa iaitu pemandu berusia 37 tahun dan anaknya berusia enam tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

"Penunggang motosikal yang berusia 20 tahun juga meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng motosikal berusia 11 tahun mengalami cedera parah dan sedang di rawat di Hospital Kuala Nerang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mulkiaman berkata, saksi kejadian tidak pasti binatang yang melintas kerana tidak nampak dengan jelas.

"Kereta tersebut rosak teruk pada bahagian bumbung dan keempat-empat pintu manakala motosikal pula rosak teruk pada bahagian depan kenderaan dan patah kedua-dua belah cermin pandang belakang," katanya.

Menurutnya, semua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Berita asal: Tiga maut nahas elak haiwan melintas