Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Batu 8, Kampung Pandan Dua, di sini, dalam satu kejadian pada jam 10.45 malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua penghuni di tiga buah rumah itu berjaya menyelamatkan diri apabila sempat keluar dari rumah masing-masing.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.58 malam berhubung kebakaran itu.

Katanya, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dan BBP Indera Mahkota digerakkan untuk memadam kebakaran.

"Jentera pertama sampai di lokasi pada jam 11.09 pagi dari BBP Taman Tas dengan jarak sembilan kilometer.

"Kekuatan jentera melibatkan tiga buah jentera, manakala keanggotaan adalah seramai 11 pegawai dan 18 anggota," katanya.

Kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Batu 8, Kampung Pandan 2, Kuantan. Foto ihsan Bomba

Kata Anuar, kebakaran membabitkan tiga buah rumah jenis separuh kekal.

Dua buah rumah mengalami kemusnahan 100 peratus manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan pada garaj dan sebuah kereta yang dianggarkan satu peratus musnah.

"Bagaimanapun, kebakaran ini tidak membabitkan mangsa, kemalangan jiwa atau kecederaan. Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.