Sekurang-kurangnya tiga supek dipercayai terlibat meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, Tanjung Malim di sini pagi ini.

Suspek kemudiannya dipercayai melarikan wang tunai kira-kira RM270,000.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pada jam 6.45 pagi, anggota polis yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Tanjung Malim menerima panggilan telefon daripada pihak Security Alarm Ibu Pejabat Ambank Kuala Lumpur menyatakan penggera Ambank Pekan Tanjung Malim telah berbunyi.

Katanya, seorang saksi yang tinggal di hadapan bank berkenaan memberitahu, dia mendengar bunyi letupan kira-kira jam 6.30 pagi.

BACA: Tiga mesin ATM diletupkan, RM300,000 lesap

Katanya, saksi itu mendakwa melihat dari arah tingkap rumahnya, tiga lelaki keluar masuk ke tempat kejadian dengan menaiki kereta berwarna merah jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti.

“Rajah kasar dan gambar tempat kejadian telah diambil. Hasil rakaman CCTV dapati dua lelaki bertopeng dan bangsa tidak pasti telah masuk melalui pintu hadapan.

“Suspek keluar dari bank dan telah meletupkan mesin ATM,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Wan Kamarul Azran berkata, rakaman CCTV berjaya dirakam dan spesimen akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.