KUALA LUMPUR: Saluran berita Astro AWANI sekali lagi mencipta kejayaan apabila merangkul Anugerah Program Media Pelancongan Terbaik (Best Tourism Media Program) pada Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA26), sekali gus mengekalkan kemenangan bagi tahun ketiga berturut-turut.
Pengiktirafan itu mengukuhkan peranan Astro AWANI dalam mengetengahkan destinasi, produk serta perkembangan industri pelancongan Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
TIA26 dianjurkan Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dan Santai Travel dengan kerjasama Tourism Selangor, sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan sumbangan pemain industri pelancongan negara.
Majlis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, malam tadi, dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, yang hadir mewakili kementerian itu.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Presiden MITDA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Kapten (R) Mahadzir Tan Sri Mansor menyifatkan penganjuran TIA26 sebagai satu detik bersejarah buat industri pelancongan Malaysia.
Beliau berkata, penggiat industri pelancongan merupakan antara individu penting yang membantu mengangkat nama Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Signifikannya adalah sangat besar. Impak kepada tanah air kita. Malam ini adalah satu malam sejarah bagi dunia pelancongan Malaysia.
"Malam ini telah melakarkan pelbagai kejayaan oleh penggiat-penggiat industri pelancongan di tanah air. Mereka ialah wira sebenarnya dan juara untuk menaikkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan juga tempatan," kata beliau kepada Astro AWANI.
Mahadzir berkata, anugerah yang diberikan menerusi TIA26 bukan sekadar penghargaan, sebaliknya menjadi dorongan kepada pemain industri untuk terus memperkukuh sektor pelancongan negara.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan golongan muda melihat bidang pelancongan sebagai industri yang mempunyai potensi besar untuk diceburi.
“Di sini juga kita tunjuk kepada anak-anak muda kita, dunia pelancongan adalah dunia yang sepatutnya kita ceburi sebab ini akan menaikkan lagi nama Malaysia di dunia. Dan anugerah ini, kita gelarkan mereka sebagai Duta Pelancongan Malaysia.”
Dalam edisi tahun ini, Tourism Selangor dinobatkan sebagai Destinasi Terbaik Tahun 2026 (Destination of the Year 2026).
Bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr Ng Yen Yen, pula menerima Tokoh Ikon Pelancongan Tahun 2026 (Icon Tourism Personality Year 2026) atas sumbangan beliau terhadap pembangunan industri pelancongan negara.
Penyanyi Aina Abdul turut menerima Selebriti Tahun 2026 (Celebrity of the Year 2026).
TIA26 menghimpunkan pelbagai pemain dalam ekosistem pelancongan negara, termasuk hotel, syarikat penerbangan, ejen pelancongan, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pihak berkuasa tempatan serta organisasi pelancongan negeri.
Proses penilaian turut melibatkan lawatan ke tapak, semakan amalan terbaik, aspek kelestarian serta impak sebenar kepada industri, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.