MALAYSIA
Tiga teras utama pacu kecemerlangan PDRM - Mohd Khalid

Mohd Khalid ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Jabatan Cawangan Khas Bukit Aman di sini hari ini. - Foto FB PDRM
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menetapkan tiga teras utama bagi memacu kecemerlangan pasukannya ke arah lebih dinamik, progresif dan berintegriti.
Ringkasan AI
- Ketua Polis Negara menetapkan tiga teras utama: penggunaan teknologi dan AI, pemerkasaan integriti pasukan, serta pemantapan kesejahteraan rakyat dan warga PDRM.
- PDRM komited dalam usaha pencegahan jenayah termasuk buli yang membawa maut, serta meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pelajar.
- Cawangan Khas berjaya mengekang ancaman keselamatan termasuk penahanan 39 warga Bangladesh terlibat dengan militan, dan menjalankan 144 operasi dengan rampasan melebihi RM187 ribu sejak Januari hingga Julai 2025.
"Selain itu, PDRM komited memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih mesra, responsif, adil dan inklusif," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Jabatan Cawangan Khas Bukit Aman di sini hari ini.
Mohd Khalid menegaskan keutamaan juga terhadap usaha pencegahan jenayah buli hingga menyebabkan kematian yang memerlukan pendekatan lebih kolektif dan proaktif.
"Sehubungan itu, PDRM mengambil pendekatan untuk memperkukuhkan usaha pencegahan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pelajar agar tidak mengambil tindakan yang melampaui batas undang-undang mahupun kemanusiaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Cawangan Khas atas kejayaan mengekang ancaman keselamatan termasuk penahanan 39 warga Bangladesh yang disyaki terbabit dengan Gerakan Militan Bangladesh (GMB) di Johor dan Selangor baru-baru ini.
"Seramai 39 warga Bangladesh berjaya ditahan, dengan sembilan daripadanya telah didakwa di bawah Kanun Keseksaan manakala 29 yang lain dikenakan tindakan pengusiran dan seorang lagi masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut," katanya.
Selain itu, beliau berkata sejak Januari hingga Julai 2025 Cawangan Khas dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain telah menjalankan 144 operasi dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM187 ribu serta tangkapan warga tempatan dan warga asing.
Pada majlis itu Mohd Khalid turut menyampaikan penghargaan kepada 44 warga PDRM yang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, termasuk dua wakil pasukan penyelamat daripada Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terlibat dalam misi menyelamat mangsa nahas helikopter PDRM di perairan Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor, 10 Julai lepas.
Dalam pada itu beliau turut menyeru warga Sang Saka Biru untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan sebagai tanda cinta akan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami