SLIM RIVER: Tiga wanita, termasuk seorang pelajar sekolah, cedera apabila kereta Perodua Bezza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah BMW di Kilometer 82 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, selain pelajar berusia 14 tahun, mangsa lain ialah pemandu kereta berusia 24 tahun dan penumpang berusia 57 tahun.

Bagaimanapun, katanya, pemandu BMW berusia 63 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 pagi ketika kereta BMW tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Manjung.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan memasuki laluan BMW dan berlaku pertembungan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Foto JBPM Perak

Ekoran kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Bezza cedera di bahagian muka manakala pelajar cedera di bahagian muka dan tangan.

Seorang lagi penumpang cedera di muka, tangan dan kaki, kata Wan Azharuddin.

Ketika ini, dia masih dirawat di Hospital Slim River.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.