Ahli-ahli parlimen Terengganu hari ini mengutarakan pandangan yang berbeza terhadap undi tidak percaya yang diusulkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, apa yang dilakukan itu menunjukkan wujud ketidakstabilan di dalam UMNO Terengganu yang kini hanya mempunyai kelebihan dua kerusi.

Katanya, keadaan menjadi lebih tidak stabil dengan usul tidak percaya oleh Ahmad, yang dianggapnya sebagai orang yang amat kanan dalam parti.

BACA: Usul undi tidak percaya tidak boleh dibuat secara 'serang hendap' - Pandikar Amin

BACA: Cukup-cukuplah layan 'blues' Ahmad Said - Najmil Faiz

VIDEO: Penjelasan Speaker DUN Terengganu


"Tetapi tidak mustahil Ahmad dan penyokongnya mengambil tindakan yang lain. Kerana kita mesti ingat, apabila beliau dipecat sebagai MB, beberapa orang telah keluar UMNO bersama beliau dan dengan pujukan dari pucuk pimpinan, beliau telah masuk semula.

"Perkara ini tidak mustahil dengan pergolakan nasional hari ini di mana ada gerakan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebagainya segala-galanya ada kemungkinan berlaku,'' katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang kemungkinan tidak boleh ditolak termasuk kemungkinan Ahmad akan keluar parti.

Ahmad katanya, tidak semestinya menyertai parti lain tetapi cukup jika mengumumkan dirinya sebagai calon bebas sebagai mana yang pernah berlaku dalam sejarah awal politik Terengganu.

''Dalam sejarah Terengganu awal tahun 60-an pernah berlaku kerajaan bertukar kerana ada pihak yang mengambil tindakan sebelum pilihan raya.

"Ini tidak mustahil dan ini berada dalam peraturan dan undang-undang yang dibenarkan," katanya.

Ahli Parlimen Marang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara ini terpulang kepada UMNO.

"Pas tidak terlibat dan Ini terpulang pada UMNO. Mesti ada isu-isu yang munasabah (untuk undi tidak percaya ini) bukan isu hendak rebut jawatan," katanya.


Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh pula menyerahkan kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu menyelesaikan masalah itu.

"Saya tidak berada di situ semalam. Jadi, saya tidak tahu apa yang berlaku dan saya yakin DUN Terengganu tahu apa yang harus dilakukan," katanya ringkas.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu membawa usul undi tidak percaya terhadap menteri besar ketika membahaskan titah Sultan, Sultan Mizan Abidin dalam penggal keempat sidang DUN di Wisma Darul Iman.

Speaker Dewan, Datuk Mohd. Zubir Embong kemudiannya memutuskan untuk menangguhkan sementara persidangan bagi membolehkannya meneliti usul undi tidak percaya itu, sebelum sidang disambung semula pada pukul 2.30 petang.

Mohd. Zubir kemudian menolak usul undi tidak percaya itu atas alasan Ahmad tidak mengikut peraturan ketika mencadangkannya.