PENDANG: Dua wanita nyaris nahas susulan kebakaran yang berlaku di sebuah gerai makan di medan selera berhampiran Masjid Al Falah Felda Sungai Tiang, di sini, semalam, .
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, dua pegawai bomba yang kebetulan singgah untuk minum petang di gerai terbabit berjaya menyelamatkan dua wanita itu apabila api tiba-tiba membakar di bahagian dapur.
Advertisement
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, pada awalnya, api yang tinggi disangka daripada aktiviti memasak.
Namun, ia kemudiannya didapati berpunca daripada hos gas yang tercabut ketika proses memasak, menyebabkan kebakaran berlaku.
"Kebakaran itu turut menghalang laluan keluar apabila api marak di bahagian hadapan pintu, manakala pintu kabin gerai didapati terkunci dan sukar dibuka, menyebabkan dua wanita terperangkap dalam keadaan panik.
"Ketika itu, kedua-dua pegawai bomba berkenaan melakukan kerja penyelamatan dengan menarik keluar mangsa dari kawasan api marak ke tempat selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemadaman kemudiannya dilaksanakan dengan pendekatan taktikal, di mana tindakan 'rescue' dan 'confinement' dilakukan oleh kedua-dua pegawai.
Proses pemadaman api berjaya disempurnakan menggunakan alat pemadam api yang diperoleh.
Kedua-dua mangsa dilaporkan hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di tempat kejadian.
Sementara itu Bomba turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan pemasangan peralatan memasak berada dalam keadaan selamat serta menyediakan alat pemadam api di premis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.