KUALA LUMPUR: Tindakan PAS yang menyamakan pendekatan pemerintahan Kerajaan Perpaduan-MADANI seperti pendekatan golongan munafik jelas berniat jahat serta jauh menyimpang daripada fakta dan kebenaran.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perkara itu juga sekali gus membenarkan pandangan bahawa PAS sebuah parti yang berfikrah ekstrem.

"Justeru menggelar PH (Pakatan Harapan) sebagai munafik, musuh Islam yang mengamalkan demokrasi ala Israel, ia membenarkan pandangan bahawa PAS sebuah parti yang berfikrah ekstrem.

"Jalan tuntas bagi PAS untuk mempengaruhi minda khususnya masyarakat Melayu Islam adalah dengan menunggang serta memanipulasi nas dan dalil agama mengikut tembolok para petinggi di dalam PAS," katanya menerusi laman X beliau malam ini.

Pada Rabu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat hantaran di laman Facebook beliau bertajuk 'Minda Presiden PAS: Cara Golongan Munafik menentang Islam diikuti Israel dan PH.'

Muhammad Kamil berkata PAS, yang juga sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional, kini kian terdesak apabila semakin ramai Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata gabungan politik berkenaan sukar menyerang kerajaan secara dasar kerana angka dan petunjuk ekonomi dilihat semakin baik manakala pelaburan kian bertambah serta tahap keyakinan dunia luar terhadap Malaysia semakin mengukuh.

Mengenai pembahagian peruntukan, beliau berkata dakwaan bahawa kerajaan telah melakukan sekatan ekonomi terhadap negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS adalah satu fitnah yang dahsyat.

"Dalam hal royalti, Presiden PAS sendiri gagal selama 33 bulan untuk menyelesaikan isu ini ketika berada di pundak kuasa. Ini fakta yang sesiapapun di dalam PAS tidak mampu menyangkal. Peruntukan negeri-negeri juga bertambah berbanding tahun-tahun sebelumnya," kata beliau.

Muhammad Kamil berkata justeru, pemimpin PAS perlu berpolitik secara matang dan sejahtera seperti yang sering dilaungkan.

-- BERNAMA