Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang memuat turun serta menyebar akhbar berbahasa Melayu terbitan militan Daish.

Tambah Ahmad Zahid, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau serta menyiasat akhbar berkenaan yang kini didapati di internet.

"Saya tahu tujuannya untuk mempengaruhi orang yang bersimpati bagi memberikan sokongan kepada IS.

"Bahagian Penerbitan turut memantau, jika terdapat mana-mana individu yang mencetak atau muat turun bahan daripada internet itu, kita akan menggunakan undang-undang melalui Akta Mesin Cetak dan akta lain untuk diambil tindakan," katanya semasa ditemui di Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak dan Sambutan Aidilfitri Pejabat Pendidikan Hilir Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau akan membincangkan cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengenakan visa terhadap pelancong dari Asia Barat yang memasuki Malaysia.

Langkah berkenaan dilihat bagi mengukuhkan keselamatan dan gerak kerja menangani ancaman militan Daish.

Menurut Ahmad Zahid, cadangan itu kini diteliti dan pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada jemaah menteri terutamanya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.