Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan amalan kebersihan sentiasa dipatuhi di restoran, gerai penjaja dan kawasan rekreasi untuk membasmi leptospirosis.

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata dengan mengekalkan kebersihan alam sekitar, ia dapat membantu menghalang tikus daripada membiak dan seterusnya menghentikan penyebaran penyakit kencing tikus.

"Leptospirosis disebabkan oleh persekitaran awam yang lemah. Jadi, apa yang penting adalah untuk memastikan orang ramai menjaga persekitaran mereka agar bebas daripada tikus kerana ia membiak dengan cepat dengan adanya (sisa) makanan.

"Orang awam membuang sisa makanan secara tidak bertanggungjawab di taman-taman rekreasi, restoran dan gerai penjaja. Mereka buang dalam tong sampah menggunakan polistirena dan ini akan menarik perhatian tikus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Sukan Antara Universiti 2017 di sini hari ini.

Dr Subramaniam mengulas empat insiden jangkitan leptospirosis di Kelantan, sambil menambah tiada kes baharu jangkitan saluran pernafasan dikesan di negara ini.

Dr Subramaniam juga menggesa orang ramai supaya membantu pihak berkuasa tempatan memelihara kebersihan di kawasan sekitar dan pengusaha restoran perlu memastikan premis mereka bebas daripada haiwan perosak.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata MIC tidak menerima sebarang pelawaan daripada PAS untuk menghadiri Perhimpunan 355 di Padang Merbok di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan MIC berhubung perhimpunan itu hanya akan disalurkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengerusi Barisan Nasional, dan ia tidak akan diumumkan kepada orang ramai.

Mengenai Pesta Sukan itu yang bermula Jumaat, Dr Subramaniam berkata MIC melalui Putera MIC kini giat mempromosikan sukan sebagai agenda transformasi sosial di kalangan belia masyarakat India untuk mengalihkan perhatian mereka daripada gejala sosial.

Beliau berkata inisiatif itu itu adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan kumpulan itu berusaha meningkatkan taraf ekonomi dan daya saing mereka.

Lebih 500 mahasiswa dari 26 universiti amam dan swasta bersaing dalam kejohanan badminton (wanita) dan bola sepak (lelaki).

Turut hadir Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K Devamany, naib presiden MIC Datuk T.Mohan dan Ketua Putera MIC Kebangsaan Uvaraja Maniam.

-- BERNAMA