Skip to main content

Malaysia

Tingkatan enam kekal di bawah KPM buat sementara waktu - PM

PUTRAJAYA, 28 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Anwar berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan, di Putrajaya, pada Selasa. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengurusan pelajar tingkatan enam (pra-universiti) kekal di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat sementara waktu.

Beliau berkata, meskipun terdapat cadangan rasional untuk memindahkan pengurusan tingkatan enam ke bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), namun, proses peralihan tersebut memerlukan masa yang mencukupi terutama melibatkan penyelarasan sistem dan skim perkhidmatan.

"Buat masa sekarang saya putuskan supaya pra-universiti tingkatan enam ini masih di bawah Kementerian Pendidikan buat sementara.

"Peralihan itu mengambil masa kerana ia melibatkan sistem dan skim. Walaupun secara rasionanya (cadangan pemindahan) itu betul, namun kita perlu dengar pandangan semua pihak sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Anwar menjelaskan, kerajaan sebelum ini telah memutuskan agar urusan prasekolah diselaraskan di bawah KPM bagi memastikan standard pendidikan awal kanak-kanak yang lebih seragam dan berkualiti.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju tingkatan enam, beliau menegaskan, suasana pembelajaran pelajar pra-universiti itu perlu diubah agar tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada sesi persekolahan biasa.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mahu identiti tingkatan enam diberi nafas baharu dengan pengurusan yang lebih khusus dan berasingan daripada pelajar arus perdana (tingkatan satu hingga lima).

"Yang penting, tingkatan enam itu jangan dijadikan (sebahagian daripada) sekolah itu sentimen pra-universiti. Kalaupun dalam satu sekolah yang sama, tingkatan enam harus ada blok berasingan dan pengetua perlu menguruskannya sebagai satu projek atau bahagian yang berbeza.

"Jangan dimasukkan dalam perhimpunan sekolah (arus perdana). Biar perhimpunan itu untuk pelajar tingkatan lima ke bawah sahaja, manakala tingkatan enam diberi pengiktirafan khas sebagai bahagian pra-universiti walaupun mereka berada dalam gedung sekolah yang sama," tegas beliau.

Langkah itu, menurut Anwar, bertujuan memberi persekitaran yang lebih matang dan kondusif kepada pelajar tingkatan enam selaras dengan status mereka sebelum melangkah ke peringkat menara gading.

Must Watch Video

Advertisement