KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 19 laporan polis melibatkan jumlah kerugian dianggar bernilai RM3 juta berhubung pendedahan sebuah laporan media tempatan bertajuk "400 individu rugi RM54 juta beli saham keutamaan syarikat Datuk Seri".

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana tipu.

Beliau berkata PDRM telah mengenal pasti suspek utama dan lain-lain suspek yang terlibat dan usaha untuk mengesan dan menahan mereka sedang dijalankan.

"Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini menawarkan pembelian saham syarikat yang didakwa patuh syariah.

"Pelabur dijanjikan faedah sebanyak empat peratus setiap bulan dan wang pelaburan pokok akan dipulangkan setelah kontrak pelaburan tamat," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kamarudin berkata bagaimanapun faedah berkenaan hanya dibayar pada peringkat awal pelaburan sebelum kemudiannya pihak syarikat menghilangkan diri.

Menurutnya, PDRM mengingatkan orang ramai untuk memberikan perhatian dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

-- BERNAMA