KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara berhubung kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kepada perhatian pihak mahkamah.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi satu kenyataan media ringkas oleh Jabatan Peguam Negara pada petang Rabu.

Sebelum in,i dalam satu kenyataan Tengku Zafrul memaklumkan beliau akan memfailkan afidavit untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tengku Zafrul turut memaklumkan beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung afidavit Ahmad Zahid itu.

Awal hari ini, menerusi ikrar yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan Titah Adendum atau Tambahan Afidavit No. 3 Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah oleh Tengku Zafrul.

Menurut Ahmad Zahid, Tengku Zafrul menunjukkan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.