KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak untuk meniup api perkauman, kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin selaku Menteri Besar berpendapat pihak tersebut turut memperalatkan sentimen agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
“Semua pihak termasuk pembangkang harus menghentikan amalan 'selective loyalty' (kesetiaan terpilih) – kononnya mempertahankan raja, agama, dan bangsa.
“Hanya apabila menguntungkan kedudukan politik mereka, tetapi mengabaikan prinsip yang sama apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan hari ini.
Beliau menegaskan Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum atau ketakutan agama, tetapi atas semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang.
Tambahnya, ia merangkumi keluhuran undang-undang sebagai asas pembinaan negara.
Amirudin turut menyentuh titah Sultan Selangor yang menyeru rakyat menghayati Rukun Negara secara menyeluruh, termasuk memahami latar belakang serta mukadimahnya.
Jelasnya, di situlah terkandung cita-cita besar para pendiri negara untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, demokratik, adil, dan progresif.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi, tetapi falsafah kebangsaan yang harus dihayati dalam kehidupan bernegara,” katanya.
Ahli Parlimen Gombak itu juga menyeru semua pihak meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab.
“Negara ini mempunyai undang-undang dan Perlembagaan yang jelas. Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan secara terang dan zahir memperuntukkan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara,” katanya lagi.
Tegasnya, cubaan untuk mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum, ataupun mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara.
Hari ini, Sultan Sharafuddin bertitah menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini agar terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan menimbulkan keresahan rakyat.