JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pertemuan baginda bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu adalah untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu program vaksinasi di negeri ini.

Tunku Ismail bertitah demikian menerusi hantaran di media sosial Facebook rasmi baginda.

Titahnya, pertemuan ini bertujuan untuk mendapatkan laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity serta pembatalan temu janji untuk vaksinasi dan program vaksinasi pekerja kilang.

Susulan perjumpaan itu, PPV Educity di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dikawal selia Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menerima 70,000 dos vaksin pada Khamis ini.

“Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan, pematuhan SOP dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.

“Kerajaan negeri juga telah menyediakan kemudahan khemah yang lebih besar untuk COVID-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“Selain, JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing,” Tunku Ismail bertitah.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Exco Pelancongan Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tunku Ismail turut berharap rakyat Johor yang belum divaksin dapat diberi suntikan vaksin dengan kadar yang segera.

“Hasrat saya perjumpaan ini dapat membuka ruang untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh program vaksinasi di Johor supaya rakyat dapat diberi vaksin secepat yang mungkin,” titah baginda lagi.