KUALA LUMPUR:Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik secara sementara ke 91 pencawang elektrik di Pahang dan Johor berikutan situasi banjir dan hujan lebat berterusan di dua negeri tersebut.

TNB menerusi satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, setakat jam 6 petang, 67 pencawang elektrik di Jengka, Maran, Jerantut dan Raub, Pahang serta 24 lagi pencawang di Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kota Tinggi dan Kluang, Johor telah dihenti tugas bagi tujuan keselamatan.

“Penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya akan dibuat selepas keadaan dipastikan selamat.

TNB tutup sementara 91 pencawang elektrik


“Seramai 2,300 pengguna di Pahang dan 3,900 pengguna di Johor masih belum mendapat semula bekalan elektrtik setakat ini,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, TNB turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati mengendalikan peralatan elektrik sewaktu musim banjir selain menghubungi TNB Careline di talian 15454 sekiranya berlaku pemindahan atau kerosakan.

Sementara itu, TNB turut menubuhkan Bilik Gerakan TNB bagi kedua-dua negeri tersebut bagi memastikan bantuan pengurusan banjir yang berkesan.

BACA: Amaran cuaca bahaya di Terengganu, Pahang, Johor