Tokuyama Corp telah mengesahkan akan membuat pelaburan baharu berjumlah RM5 bilion dalam bidang pengeluaran polihabluran silikon bagi sel solar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Khamis.

Beliau berkata pelaburan itu merupakan tambahan kepada RM3 bilion yang sudah dilaburkan oleh syarikat Jepun itu dalam fasa pertama projek pengeluarannya.

"Syarikat telah undang saya untuk melancarkan fasa kedua ini yang dijangka Julai atau Ogos tahun depan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata demikian kepada media Malaysia di Hotel New Otani di Tokyo selepas menerima kunjungan pegawai-pegawai tinggi Nikkei Inc, Sumitomo Corporation, Sekisui Chemical, Mitsui & Co. Ltd, Kawasaki Heavy Industry Ltd dan Toshiba Corp.

Najib tiba di Tokyo, pagi Khamis dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena sidang kemuncak ulang tahun ke-40 hubungan dialog ASEAN-Jepun.

Perdana Menteri menyifatkan pelaburan berkenaan sebagai satu pelaburan yang amat besar.

"Ini merupakan sebahagian pertengahan untuk pengeluaran sel solar dan solar module. Jadi polisilikon ini boleh dikatakan bidang input untuk pengeluaran sel solar ini," kata beliau.

Bercakap kepada wartawan Malaysia kemudian, Najib berkata beberapa syarikat Jepun termasuk Sumitomo Corporation dan Mitsui & Co Ltd menunjukkan minat mengambil bahagian dalam projek kereta api berkelajuan tinggi Singapura-KL yang dicadangkan.

Perdana Menteri berkata beliau telah memberitahu syarikat-syarikat ini bahawa mereka boleh mengambil bahagian dalam tawaran yang akan dibuka sebagai proses bidaan antarabangsa.

Menjawab soalan pemberita, Najib berkata projek berkenaan dijangka menarik minat syarikat-syarikat China, Eropah dan Jepun.

Namun, beliau berkata projek itu masih lagi dalam peringkat kajian.

"Bila selesai baru buat proses bidaan...(juga) perlu persetujuan kerajaan Singapura," kata beliau.

Cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi itu menelan belanja US$12 bilion (RM40 bilion), diumumkan oleh Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, Februari lepas.

Apabila projek itu siap pada 2020, ia mampu memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya 90 minit.