KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengalu-alukan inisiatif pemberian tol percuma kepada Keluarga Malaysia pada 30 April serta 1, 7 dan 8 Mei sempena sambutan Aidilfitri seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri, Ismail Sabri Yaakob.

Syarikat itu menjangkakan sebahagian besar pengguna lebuh raya akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma berkenaan dan menyusun jadual perjalanan balik kampung dan kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh tol percuma tersebut.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dan menjangkakan tempoh perjalanan di lebuh raya mungkin lebih panjang kali ini terutamanya pada empat hari istimewa yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

PLUS juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.

“Pihak PLUS akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan kami telah mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” jelasnya.

[INFOGRAFIK] Tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri

BACA: Tol percuma sempena Aidilfitri: Ini lima perkara anda perlu tahu

Mengulas lanjut, katanya untuk lebuh raya yang menggunakan sistem tol tertutup seperti lebuh raya antara bandar, tol percuma dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

"Bagi pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go, mereka masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka di lorong tol di plaza tol. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.

"Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan RFID juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka," katanya.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya memeriksa status kad Touch ‘n Go sebelum perjalanan bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang seterusnya mengakibatkan kesesakan.

"Kami mengambil peluang ini untuk menasihatkan orang ramai sekali lagi yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada empat hari tersebut supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini," kata Azman.