KUALA LUMPUR:Pengasas syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menjual rumah agamnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta Pound (RM13.55 juta).

Portal berita The Sun melaporkan, tokoh korporat dari Malaysia itu membuat keputusan sebahagian daripada hartanya bagi menyelamatkan empayar perniagaannya.

Tony yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia pernah tinggal di Skeldon House di Dalrymple, Ayrshire selama tujuh tahun.

Bekas Pengerusi pasukan bola sepak, Queens Park Rangers itu tidak terlepas turut terkena tempias pandemik COVID-19.

Laporan portal itu berkata, rumah agam di kawasan seluas 125 ekar itu mempunyai lima buah bilik beserta bilik simpanan wain, gimnasium, sauna dan gelanggang tenis.

Rumah agam Tony Fernandes di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta Pound (RM13.55 juta). - Gambar SAVILLS

Pada Mac lalu, AirAsia mengumumkan penggantungan kesemua penerbangan dalam rangkaiannya berikutan wabak COVID-19 yang melumpuhkan sektor penerbangan di seluruh dunia.

Sebelum terlibat dalam sektor penerbangan, Tony yang berusia 56 tahun merupakan personaliti yang sangat masyhur dalam industri hiburan sekitar tahun 1990-an.

Beliau pernah menerajui syarikat rakaman Warner Music (Malaysia) dan merupakan individu penting di sebalik kejayaan album kerohanian kumpulan nasyid terkenal, Raihan.

Tony juga yang mencetuskan idea untuk mempopularkan semula genre muzik dangdut sehingga menyebabkan penyanyi Amelina berjaya membina pengaruh yang luar biasa sekitar pertengahan 1990-an.