Kerajaan akan mula mengagihkan penutup hidung dan mulut secara percuma kepada negeri Sabah dan Sarawak bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini, pihaknya telah mengagihkan 23.4 juta atau 69 peratus topeng muka secara berperingkat kepada isi rumah di seluruh negara.

"Kerajaan telah memperuntukkan 32.4 juta topeng muka untuk diedarkan.

"Ia diedarkan oleh APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) ke negeri-negeri dan ia diturunkan ke Pusat Pengurusan Bencana daerah dan ia diagihkan melalui barisan hadapan setiap daerah.

"Sabah dan Sarawak, pengagihan akan bermula hari ini," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan topeng muka itu akan diagihkan kepada 8.63 juta isi rumah oleh Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah.

Dalam pada itu, katanya kerajaan turut menjalankan 3,040 operasi sanitasi awam membabitkan 107 zon di seluruh negara setakat Isnin.

Ia termasuk melibatkan 30 kawasan zon merah.

"Semalam (20 April), sebanyak 250 operasi sanitasi meliputi 78 zon di 14 negeri, termasuk 44 kawasan di Johor dan 27 kawasan di Terengganu.

"Operasi sanitasi semalam merangkumi 159 bangunan Kerajaan, 111 tempat awam, 133 pusat perniagaan dan 9 pasar raya," ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan turut membenarkan permohonan syarikat swasta untuk menyediakan perkhidmatan sanitasi, namun ia tertakluk kepada garis panduan KKM.