KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bukan penentu tunggal dalam memutuskan sesuatu sektor perniagaan dianggap penting atau sebaliknya, tegas Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, surat kebenaran beroperasi oleh COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) hanya dikeluarkan setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI.

Jelasnya lagi, sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.

Azmin berkata, setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

“Namun, terdapat juga beberapa Kementerian seperti MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) 
dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI.

"Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.

“Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain,” katanya lagi.


Azmin berkata, dengan pewujudan dan pelaksanaan sistem bersepadu seperti itu, ia terbukti lebih berkesan untuk kumpulan sasaran masing-masing.

Sehingga kenyataan itu dikeluarkan, Azmin berkata, 586,308 dengan 10.2 juta pekerja telah berdaftar dengan CIMS dan hanya 128,150 atau 21.8% surat kebenaran beroperasi telah dicetak melalui CIMS melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia.

Mengenai aduan dan dakwaan bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, Azmin berkata, MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan.

“MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” katanya lagi.