KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengumumkan semua janji temu bagi pemberian vaksin tidak terjejas dengan pelaksanaan 'total lockdown' di negara ini.

Dalam ciapan di laman Twitter malam ini, JKJAV berkata, tarikh janji temu yang diperoleh sebelum ini masih sah.

"Semua janji temu adalah sah dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga akan beroperasi seperti biasa sepanjang lockdown (Fasa 1) bermula 1 Jun hingga 14 Jun, 2021," ciapnya.

Jawatankuasa berkenaan turut berpesan agar penerima vaksin menunjukkan butiran janji temu termasuk di dalam aplikasi MySejahtera untuk verifikasi dengan pihak berkuasa.


Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).