KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh dan memperhebatkan industri pelancongan domestik serta mempromosikan lokasi-lokasi menarik di negara ini, Tourism Malaysia melancarkan program siri jelajah "Dah Sampai" bermula hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghapar, siri jelajah ini akan meneroka dua lokasi iaitu Kuala Terengganu dan Melaka dengan menawarkan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik.

"Banyak aktiviti yang telah kita rancang memiliki ground orientation. Kita lihat banyak sambutan siri jelajah kita pada kali ini fokus di lokasi pulau di Malaysia.

"Kita harap dengan cara begini, kita dapat mengetengahkan produk-produk tempatan supaya lebih ramai orang melancong di Malaysia," katanya ketika ditemui di majlis pelepasan konvoi siri jelajah Dah Sampai di Astro Bukit Jalil pada Sabtu.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar memaklumkan siri jelajah ini akan meneroka dua lokasi iaitu Kuala Terengganu dan Melaka

Tambah beliau, Tourism Malaysia berbesar hati dapat menjalin kerjasama untuk tahun ketiga berturut-turut bersama pihak Astro AWANI dalam penerbitan kandungan berkaitan produk pelancongan tempatan.

"Kebanyakan produk pelancongan Terengganu berada dalam radius 10 kilometer. Jadi dekat dan sebagainya.

"Kita juga sedang mempromosikan CBT iaitu community-based tourism; kita nak orang tempatan dapat faedah daripada aktiviti pelancongan ini.

"Melaka menjadi pilihan memandangkan kita menuju ke Tahun Melawat Melaka 2024 dan kita tahu Melaka merupakan destinasi pelancongan popular," katanya.

Tourism Malaysia, Astro AWANI jalin kerjasama dalam siri jelajah Dah Sampai

Sementara itu, Penolong Naib Presiden Kanan Kandungan Kreatif dan Khidmat Kandungan Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin memaklumkan matlamat siri jelajah ini untuk memastikan penyampaian kandungan produk pelancongan diterjemah secara lebih kreatif dan santai.

"Kita nak mereka rasa bahawa pelancongan domestik dah hidup kembali. Mereka juga ada peluang untuk lihat apa produk-produk yang kita bawa bersama kita.

"So, this is basically untuk orang ramai di Kuala Terengganu. Insya-Allah selepas ini kita ke Melaka pula.

"Kita minta orang ramai supaya ambil peluang ini untuk bersama-sama melihat produk pelancongan dalam negara yang boleh dieksplorasi," kata Zaiful.

Siri jelajah "Dah Sampai" di Kuala Terengganu berlangsung hari ini hingga esok, manakala di Melaka pada 11 dan 12 November ini.

Beberapa lokasi yang akan disinggahi semasa siri jelajah di Kuala Terengganu termasuk hentian rawat dan rehat Gambang, Pantai Batu Buruk, Hottoh Cafe, Pasar Payang manakala lokasi acara utama ialah di Kuala Terengganu City Centre (KTCC).