SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Shanghai, China, pada 1.55 petang waktu Malaysia dalam lawatan rasmi sulungnya ke negara itu sejak pelantikannya pada 2 Dis tahun lepas.

Pesawat khas BD 700 (RMF 142) yang membawa menteri itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong, dan disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin, Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Syed Farizal dan pegawai kanan kerajaan yang lain.

Semasa lawatannya dari 12-19 Nov, Fadillah akan ke Shanghai dan Beijing, bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutamanya dalam mempromosikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.

Beliau baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa beliau berharap dapat mengukuhkan lagi perdagangan komoditi dengan China, khususnya berkaitan minyak sawit.

China ialah pasaran eksport minyak sawit kedua terbesar Malaysia selepas India.

Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion, manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu pada tahun yang sama sebanyak RM8.44 bilion.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.

Tahun ini, Malaysia dan China menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif, manakala pada 2024, kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Justeru, lawatan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua negara berbincang dan bertukar pandangan mengenai program dan aktiviti yang akan dianjurkan pada tahun hadapan.

-- BERNAMA