Timbalan Perdana Menteri menafikan bahawa pelbagai projek dan peruntukan yang diumumkan di Kuala Besut adalah disebabkan pilihanraya kecil di kawasan berkenaan.

Katanya ia hanya satu kebetulan dan semua projek terbabit telah lama dirancang dan kerajaan hanya melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan sekolah menengah kebangsaan Alor Peroi di Kuala Besut.

Pembinaan sekolah dengan 30 bilik darjah dilengkapi dengan kemudahan makmal komputer dan sains dijangka bermula Ogos ini. Projek ini melibatkan kos RM28 juta.

“Ini harus dilihat sebagai satu usaha kita jalankan tugas dan tanggungjawab bukan beli undi.

“Perkara itu bukan perkara baru diketengahkan pilihanraya umum dan pilihan raya kecil kita jalankan seperti biasa pasal bagi saya ini ialah satu tanggungjawab dan amanah yang kita kena sempurnakan.”

Sabtu lalu, Muhyiddin mengumumkan 72 unit pangsapuri 3 bilik di Kampung Lay Out Tok Saboh dengan kos bernilai RM10 juta di kawasan seluas 702 kaki persegi.

Muhyiddin turut menegaskan peruntukan RM250 juta yang diumumkan untuk kerja mendalamkan muara sungai Besut adalah sesuatu yang dituntut penduduk setelah sekian lama.