MALAYSIA
TPM Zahid wakili Malaysia hadiri perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Jumaat, lawatan itu diadakan atas undangan Kerajaan Singapura. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Singapura bermula esok hingga Ahad bagi mewakili kerajaan Malaysia sempena Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Jumaat, lawatan itu diadakan atas undangan Kerajaan Singapura.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.
"Mesyuarat-mesyuarat ini dijangka membincangkan kerjasama dua hala dan perkara-perkara berkepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan sedia ada."Lawatan ini menzahirkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin dan akrab antara Malaysia dan Singapura.
"Sebagai negara jiran terdekat dan anggota ASEAN, kedua-dua negara menikmati kerjasama yang kukuh dan merangkumi pelbagai bidang," menurut kenyataan itu.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pada 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah kira-kira RM396.22 bilion (US$86.69 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan dua hala meningkat 12.2 peratus kepada RM97.93 bilion (US$22.00 bilion).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami