MANJUNG: Seorang lelaki maut apabila tong gas petroleum cecair (LPG) dipercayai meletup di sebuah bengkel di Jalan Parit Amerikan, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, dekat sini, tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam.

Menurutnya, letupan dipercayai berlaku ketika proses pemindahan bahan dari tong besar ke tong yang lebih kecil di bengkel tersebut.

“Semasa kejadian, mangsa seorang lelaki Melayu berusia dalam lingkungan lewat 20-an, dipercayai seorang diri.

“Mangsa disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan membuat kerja pemantauan dan menutup semua injap tabung, seterusnya memastikan tiada bahan merbahaya di kawasan tersebut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Amir Hamid tamat pada 1.24 pagi.