Jasad pertama mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di Long Buyun, Belaga, Sarawak dijumpai Pasukan Bomba Sukarela Belaga kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Setakat ini pihak berkuasa belum mengesahkan identiti mangsa yang ditemui itu.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Kesemua yang yang dikhuatiri lemas adalah perempuan iaitu Sumitasen Thomas, 15; Adriana Rosnah, 12; Sahirza Mahir, 31; dan Nur Amrisha, 4.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Belaga DSP Melay Tingom mengesahkan mereka yang terselamat ialah seorang lelaki Liam Kelilit, 50, dan empat perempuan iaitu Bungan Nyaleng, 50; Agnes Liam, 33; Olivia Ploma Thomas, 8; dan Ayu, 4.

Menurut sumber polis, mangsa sedang dalam perjalanan balik bercuti dari pekan Belaga ke Rumah Tanjung di Long Pawah semasa kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang.

Lokasi kejadian tersebut dilaporkan berlaku berdekatan lokasi sebuah bot ekspres sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai, karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira 40 minit perjalanan dari sini pada 28 Mei 2013.

Dalam insiden itu, bot ekspres 'Kawan Mas' yang dalam perjalanan dari Belaga ke Kapit dan Sibu, terlanggar kayu balak di Giam Bungan, Sungai Rajang, kira-kira satu jam perjalanan dari pekan Belaga dan mengalami kerosakan enjin sebelum tenggelam pada jam 8.45 pagi.

Melay berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat diketuai Sub Inspektor Yusup Naraue dengan bantuan penduduk kampung.

Polis turut memohon bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu serta Jabatan Pertahanan Awam Bintulu.