Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah dikenal pasti sebagai antara empat pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong, di sini, yang meragut sembilan nyawa Oktober lalu.

Kata pengerusi Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, tiga pihak lain ialah Yuta Maju Sdn Bhd selaku kontraktor, Jurutera Perunding GEA (M) Sdn Bhd selaku konsultan dan G&P Professionals Sdn Bhd selaku penyemak bebas.

"Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pihak-pihak yang dikenal pasti sebagai bertanggungjawab ini disenaraihitamkan daripada menjalankan kerja-kerja atau memasuki mana-mana tender Kerajaan Negeri buat masa ini, sehinggalah keputusan (lain) dibuat pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, mereka masih dibenarkan untuk menyiapkan sepenuhnya projek tersebut yang masih berbaki 25 peratus dan dijangka disiapkan pada Mei 2020," katanya pada satu sidang media pada Rabu.

BACA: Tragedi Bukit Kukus: Tiga kontraktor disenarai hitam

Mengulas mengenai faktor-faktor yang menyebabkan tanah runtuh itu berlaku, Ahmad Zakiyuddin berkata, jawatankuasa siasatan mendapati insiden disebabkan oleh pembinaan satu platform sementara yang digunakan untuk meletak jentera.

"Runtuhan telah berlaku pada platform tambakan dan platform itu telah gagal, antaranya kemungkinan best practice di dalam pembinaan hillslope ini tidak dibuat.

"Kontraktor telah gagal untuk mengemukakan method statement kepada konsultan. Jururunding yang dilantik juga enggan untuk menyatakan kaedah itu kepada jurutera tempatan walaupun telah diminta oleh pihak konsultan untuk mengemukakan, tetapi kontraktor telah gagal mengemukakan," jelasnya.

BACA: Kajian EIA tidak dijalankan untuk projek jalan berkembar Bukit Kukus - Exco

Tambahnya, hujan lebat yang direkodkan pada hari kejadian yang tidak dialirkan dengan sempurna telah meresap ke dalam timbunan tanah menyebabkan cerun tanah timbunan tidak stabil, turut menjadi punca runtuhan.

BACA: Laporan siasatan tanah runtuh Bukit Kukus harus didedah kepada umum

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, jawatankuasa juga telah mengenal pasti beberapa faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya runtuhan, iaitu:

- Proses pembinaan yang tidak selamat;

- Kegagalan mengenal pasti kepentingan terhadap kejadian yang telah berlaku sebelum ini;

- Kekurangan pengawasan;

- Kegagalan untuk mengenal pasti risiko yang diakibatkan oleh perubahan proses kerja;

- Kekurangan pemeriksaan dan pengujian yang komprehensif;

- Kegagalan di dalam memaklumkan risiko yang bakal dihadapi di tapak binaan;

- Pengurusan sub-kontraktor yang lemah.

"Kita juga meminta MBPP mempertingkatkan pengurusan di tapak pembinaan dengan penstrukturan semula pasukan pemantauan mereka dan menyemak team atau pasukan penyelia projek ini," ujarnya lagi.

Dalam kejadian 19 Okt lepas, sembilan pekerja binaan warga asing maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek pembinaan jalan berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong, yang bernilai RM545.6 juta.

BACA: Mangsa maut tragedi Bukit Kukus akan diberi pampasan dengan syarat - Mahfuz

Mereka terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar manakala empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia di mana seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.