NATIONAL
Tragedi feri Triso: Kita datang dari Allah, kita pergi kepada Allah - Suami mangsa

Mohd Hamzah berkata sebelum insiden ini, arwah isterinya ada memberitahu kenderaan mereka mempunyai masalah brek sebelum dia menghantar untuk diselenggara. - Astro AWANI
SRI AMAN:"Setiap sesuatu itu datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah."
Itu luahan suami kepada Siti Aisyah Abdullah, Mohd Hamzah Razali apabila mendapat tahu insiden yang menimpa isteri dan lima anaknya.
Ketika ditemui di Hospital Sri Aman, Mohd Hamzah nampak cekal dan penuh tertib menjawab semua pertanyaan pemberita.
Ujarnya lagi, dia menerima ketentuan Ilahi itu kerana tiada apa yang boleh dilakukan jika itu takdir buatnya sekeluarga.
"Kita semua pinjaman daripada Allah. Setakat ini (jodoh) kami bersama dan saya menerimanya.
"Saya pun akan pergi (mati) bukan berpisah pun tetapi berpisah sementara sahaja. Saya dan kita semua pun akan menyusul (mati)," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Hamzah berkata sebelum insiden ini, arwah isterinya ada memberitahu kenderaan mereka mempunyai masalah brek sebelum dia menghantar untuk diselenggara.
"Sebelum ini arwah ada memberitahu yang brek kereta perlu diselenggara. Jadi kami pun hantar ke bengkel.
"Saya pun tidak tahu mereka akan menggunakan kereta itu untuk pergi ke Kuching tetapi kereta itu sudah diservis.. tiada masalah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Hamzah berkata, dia dan arwah isterinya sering pergi bersama-sama untuk menghantar serta mengambil anak mereka yang menuntut ilmu di sebuah madrasah di Samariang, Kuching.
"Tetapi kali ini dia (Siti Aisyah) bersungguh-sungguh mahu menghantar anak kami bersama dengan adiknya," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami